Sambil itu, terkumat kamit bibirku membaca dan menghembus perlahan doa kasih sayang yang aku pelajari daripada seorang kakak yang amat aku kagumi. Masih terngiang-ngiang lagi nasihatnya yang lembut penuh berhikmah supaya kehidupan seharianku dipenuhi dan dilazimi dengan doa-doa harian. Biar aku yang hamba ini terasa dekat dengan tuhan sentiasa. Setiap masa, berdiri atau berbaring teringatkan-Nya.
“Khairah, saya tidak berapa ingat maksud sebenar doa ini. Tetapi apa yang pasti maknanya lebih kurang begini. ‘Ya Allah, jatuhkan cinta saya pada orang-orang yang mencintai-Mu.’ Khairah tahu apa yang paling seronok mengenai doa ini?” Tanya Kak Siti berteka teki. Aku mengangkat bahu. Teruja untuk mendengar kata-kata seterusnya.
“Sekarang ini, kita masak dan bacakan pada kawan-kawan kita. Kita doakan semoga mereka cintakan kita sebagaimana kita cintakan mereka kerana Allah. Satu hari nanti, doa ini boleh dijadikan sebagai salah satu doa pengikat hati suami. Hebat bukan? Mungkin terdapat segelintir insan yang pikat hati suami dengan tampil cantik selalu, bersolek seharian, memakai wangian dan sebagainya. Kita juga begitu tetapi tambah lagi satu. Pikat hati suami mengikut ‘strategi Ilahi.’ Doakan hatinya sentiasa terpaut dengan hati kita.”
Suasana petang yang tenang itu diceriakan lagi dengan tawa kami. “Siapa yang sudi pinang Khairah?” Ujarku bergurau. Tetapi masih ada nada gusar.
“Tak perlu bimbang. Persiapkan diri sahaja. Dia akan datang pada waktu yang sesuai. Lelaki yang soleh, mereka akan bijak merancang. Mereka tidak akan datang dengan perancangan yang rapuh pada masa hadapan yang mana dia dipertanggungjawabkan atasnya. Khairah doa selalu, ya.” Nasihat Kak Siti menampan gegendang telinga. Hatiku terpujuk dan kembali ceria.
Sambil menambah secubit garam pada masakan ayam masak lemak hari itu, bibirku tersenyum. Aku suka perkataan itu. ‘Strategi Ilahi.’ Termotivasi sebentar dengan bakal suami yang entah siapa gerangannya, dimana orangnya, apa yang pasti aku yakin Allah sedang menjaga dirinya dengan baik sekali.
“Jika bukan disini ya Allah, sampaikanlah di syurga sana. Tetapi saya masih berharapan, izinkanlah disini. Fitrah saya menuntutnya. Naluri saya teringin menyokong seorang lelaki bernama suami. Syurga dan dunia manakan sama. Walaupun di dunia banyak cabaran dan dugaannya, saya teringin dididik oleh seorang suami, teringin menyelesaikan masalah bersama dengannya dan teringin berjihad ke syurga bersama dengan dia.”
“Allahumma amin.” Tiba-tiba satu suara yang agak lantang mengejutkanku yang sedang sibuk memasang anganan.
“Allahuakbar!” latahku. Tidak sangka Nusrah, salah seorang ahli rumahku terdengar sama.
“Amboi, seronoknya memasak.” Usiknya nakal dengan kening yang terangkat.
“Emak saya pernah memberi satu rahsia, kalau mahu kuah masak lemak kita cantik, jangan tinggalkan, kena selalu kacau sampai masak.” Ujarku mengalih topik bicara. Malu ditangkap sedang beranganan.
“Ubah topik ya?” Aku tertawa kecil.
“Selagi mana kita mampu berdoa, kita berdoalah.” Ujarku lalu jemari meminimakan api masakan dek kerana masakanku yang hampir sempurna.
“Baiklah!” Nusrah mengalah.
“Mari bantu saya hidangkan makanan.” Nusrah ringan tulang membantu.
Sambil menunggu Ariani dan Zuhairah, dua orang lagi ahli rumah kami ke meja makan, aku dan Nusrah menghidangkan makanan.
“Hari ini menunya Ayam Masak Lemak Bercinta dan Mushroom Magic!” ujarku semangat.
“Wah, ayam juga pandai bercinta.” Teruja Ariani.
Kami baca doa dan makan bersama-sama. Seakan-akan terasa keberkatan yang melingkari. Kami mulakan makan dari tepi, semaksima mungkin sunnah Nabi dituruti. Semoga di akhirat kelak Nabi Muhammad S.A.W sudi mengangkat kami sebagai ummat yang mencintai baginda. Tidak pernah bersua muka, namun begitu tetap cinta.
Sedari makan tadi aku perasan akan Zuhairah yang diam tidak berkutik. Tidak seperti selalu, ada sahaja ceritanya. Dia memuncung sahaja. Wajahnya bermuram durja. Suaranya tidak bersemangat dan kedengaran seperti sedang berduka. Aku diamkan sahaja. Terfikir untuk mendekatinya selepas selesai kami makan.
Malam itu, aku berkira-kira untuk melangkah masuk ke dalam bilik Zuhairah. ‘Perlu membawa sesuatu atau tangan kosong?’ Hatiku bermonolog.
Ilham dari Allah hadir lantas aku teringatkan minuman Jelly yang kakak usrahku belanja. Aku pilih satu bersama dengan straw dan aku menuju ke biliknya.
“Assalamualaikum.” Sekali salam sahaja, terus Zuhairah menjawabnya. Setahu aku dia memang gemar tidur lambat.
“Maaf ganggu. Ini untuk awak.” Tercalit sedikit senyuman. Terhibur mungkin kerana tidak sangka aku akan memberinya sesuatu.
“Terima kasih.” Zuhairah mengambil huluran yang aku suakan padanya. Aku berdoa dalam hati, semoga dialah orang pertama yang membuka bicara sekiranya ada sebarang masalah. Tetapi dia terus mendiamkan diri. Hanya merenung kosong skrin computer ribanya yang gelap, tidak bercahaya.
“Zuhairah sihat?” kiasku. Dia anggukkan kepala. Aku kira dia tidak memerlukan sesiapa. Mungkin lebih suka untuk bersendirian ketika ini, maka aku ingin undurkan diri.
Tiba-tiba aku rasa hujung lengan bajuku ditarik. Aku tidak jadi berdiri. Fokusku kepadanya sekarang. “Duduklah dahulu.” Ujarnya sayu. Aku akur.
“Saya sedih.” Ujarnya perlahan.
“Saya tahu.” Balasku ringkas.
“Mengapa?” soalku kembali.
“Masalah pelajar biasa.” Klunya. Berputar mindaku berfikir. Aku tidak mahu meneka yang tidak-tidak. Aku takut hatinya lebih terluka. Aku memilih untuk diam. Berikan dia masa dan ruang.
“I studied whole night, but in the end I still failed.” Air matanya meluncur laju. Hatinya terguris dengan keputusan peperiksaan yang tidak setimpal dengan usahanya. Aku tetap terkesima walaupun aku dapat mengagaknya berdasarkan klu yang dia berikan tadi. Sangkaku sesedih manapun dia, dia tidak akan senang mengalirkan air mata. Silapku menduga, dia tetap manusia biasa.
“Zuhairah, jangan putus asa.” Tanganku memeluk bahunya.
“Khairah…” suaranya meleret dengan bahu yang terhinjut-hinjut menangis.
“Di Malaysia, saya ada keluarga yang perlu saya bela. Saya ada adik-adik yang masih belum terjamin masa hadapannya, saya ada ibu bapa yang saya berhutang dengan mereka kerana jasa dan pengorbanan mereka. Saya takut saya tidak kuat.”
‘Allah, besarnya ujian dia.’ Hatiku tumpang simpati. Teringat kembali keluarga di tanah air yang masih terjaga bekalan makanan dan minumannya. Hatiku meluncur rasa syukur.
“Awak jangan putus semangat.”
“Apabila saya jatuh, kerap kali nasihat yang sama yang saya dengar. Saya bangkit kembali dan saya jatuh lagi.” Tangannya mengesat air mata dengan kertas tisu.
Aku tahu dia berduka. Malahan kesusahan dalam menghadapi peperiksaan tempoh hari aku juga merasakannya. Tetapi mungkin ujianku tidak sehebat dia. Makanya setakat ini Allah masih pinjamkanku kekuatan untuk terus bangkit dan terus positif dengan Dia yang menguji. Kegagalan itu ujian, kejayaan juga ujian. Mengikut bagaimana seseorang hamba itu pandang dan fikir. Aku mereka ayat. Aku tahu kawanku yang seorang ini tabah orangnya. Dia perlukan kekuatan semangat. Meskipun peringatan yang serupa dan berulang kali diberitahu, dia tetap seorang manusia yang sering kali perlu diingatkan.
“Mahu dengar satu cerita?” Tanyaku selamba dan ceria.
Zuhairah tertawa kecil. Mungkin tercuit hati dengan tingkahku yang keanak-anakan. Aku suka bercerita. Mungkin kerana pengalaman sebagai seorang guru tadika semasa cuti selepas peperiksaan SPM satu ketika dahulu yang menginspirasikan aku untuk bercerita bagi mengubat duka.
“Cerita ini cerita yang sangat seronok. Apabila kita sedang kesedihan, Allah ajar, hanya dengan mengingati-Nya jiwa akan tenang.” Introku cukup membuatkan dia mengalihkan fokus pada bicaraku.
“Dalam sebuah hadis bukhari, diceritakan ketika itu Nabi Musa Alaihi Salam berjumpa dengan Nabi Adam Alaihi Salam. Awak tahu apa yang Nabi Musa Tanya kepada Nabi Adam?” Pertanyaanku dibalas dengan gelengan. Terhibur hati kerana cerita ini pertama kali didengarinya.
“Nabi Musa Tanya kepada Nabi Adam. ‘Wahai Adam, apakah yang menyebabkan sekalian manusia terkeluar ke bumi ini dari syurga?’ Seperti yang kita tahu, kesilapan Nabi Adam ketika di syurga dengan makan buah larangan adalah penyebab kita semua terkeluar dari syurga. Awak tahu apa jawapannya?” Kali ini tanpa menunggu respon dari Zuhairah, aku teruskan cerita.
“Nabi Adam jawab kepada Nabi Musa. ‘Adakah kau mahu mencelaku akan satu kesilapan yang aku lakukan yang mana takdir itu telah Allah tentukan 40 tahun sebelum dia menciptakanku?’” Zuhairah terpana. Aku sambung bicara.
“Nabi Adam seorang nabi. Beliau berkata begitu setelah dia memohon keampunan dan bertaubat pada Allah. Awak faham mesej yang ingin saya sampaikan?” Air mata Zuhairah terus bergenang di tubir mata.
“Jika kita faham dan benar-benar jelas dengan konsep kehidupan kita di dunia ini sebagai seorang manusia biasa. Hakikat hamba yang segala sesuatu telahpun Allah tentukan, percayalah kita tiada alasan untuk berduka. Hidup hanya kerana-Nya dan ingin memburu cinta Dia. Kita hanya perlu usaha, selebihnya terserah untuk Dia tentukan.” Aku menarik nafas dalam sebelum menyambung.
“Zuhairah, kita rasa lemah, kadang kala kita rasa gusar dan malu dengan keputusan yang kita dapat, semuanya reflek daripada hati kita yang kurang keyakinan kepada-Nya. Bukan awak sahaja, malahan saya juga begitu. Tetapi jika difikirkan kembali, bukan rupa, warna kulit, gaya, keputusan, darjat yang Allah pandang. Tidak sedikit pun melainkan usaha kita meraih darjat tertinggi disisinya. Kita lemah dan berperasaan begitu kerana kita mengambil nilaian manusia. Jika kita mengambil nilaian Allah dan ingatkan pada diri hakikat bahawasanya segalanya telah ditentukan, kita tidak ada sebab untuk putus asa. Sedih itu normal. Ia fitrah manusia biasa. Tapi teruskan usaha dan sandarkan harapan padanya. Positif dengan Dia kerana dia akan hadir dalam sangkaan kita. Saya yakin awak mampu menghadapinya.”
“Saya lemah iman.” Zuhairah memegang tanganku, aku balas dengan genggaman yang lebih erat.
“Saya juga begitu. Awak tahu, segala nikmat atau ujian, segalanya boleh mengundang rasa syukur sekiranya kita pandang ia sebagai salah satu cara Allah menyampaikan cintanya.” Ujarku lagi.

('Aku berada dlm sangkaan hambaKu, maka bersangkalah sebagaimna yg Engkau mahu sangkakan..')
“Bagaimana?” Tanya Zuhairah. Aku lihat dia semakin tenang.
“Sebagai contoh, ada seorang wanita tua yang perlu bangun setiap malam, tidur yang kurang dan rehat yang hanya sedikit untuk menguli tepung, memasukkan inti, menggoreng kuih demi sesuap nasi. Dia boleh pandang itu sebagai satu kesakitan, ketidakadilan Allah yang mengujinya dan tidak sayangkannya sebagaimana hamba Allah yang lain yang duduk bersenang lenang, melayan cucu di rumah. Tidak kurang juga dia boleh pandang itu sebagai salah satu nikmat untuk Allah lebih sayangkannya apabila dia pujuk hati bahawasanya kurang rehat, bangun sepertiga malam untuk dia lebih dekat denganya dan lebih dekat dengan tahajud. Segala sesuatu yang ditimpakan buat kita, ia adalah ujian daripada-Nya. Zuhairah jangan kalah. Kita sama-sama cuba buktikan bahawasanya setiap ujian yang Allah timpakan, kita mampu tangani dengan keputusan yang cemerlang. Makanya jangan pernah berputus asa. Kuat dan terus kuat menghadapinya.”
“Adakah itu bermaksud saya tidak perlu terlalu sedih dan biarkan sahaja keputusannya begini. Redha dan terus redha?”
Aku menggeleng laju. “Jika zaman para sahabat dulu, mereka kesedihan apabila salah seroang kawan mereka diuji oleh Allah kerana mereka tahu itu adalah salah satu tanda cinta Allah buat mereka. Kita rapuh iman. Saya juga tidak sanggup meminta Allah menguji saya sebagaimana Dia uji insan-insan tabah yang Allah uji terpaksa mengulang tahun, gagal peperiksaan dan sebagainya. Kita merayu pada Allah agar tidak ditimpakan sesuatu yang kita tidak mampu untuk pikul. Semoga dunia ini dijadikan alat untuk menggapai akhirat. Usaha untuk perubahan itu perlu kerana Allah tidak akan sewenang-wenangnya memberi kejayaan jika tiada alasan yang boleh membuatkan kita Berjaya. Kuatkan hati, Zuhairah. Kita usaha sama-sama.” Zuhairah terpujuk. Hatiku mengalir rasa syukur.
“Saya tidak boleh kalah dengan ujian. Perjalanan saya masih panjang.” Aku anggukkan kepala.
“Apabila saya terlupa, apabila saya kesedihan, ingatkan saya pada tuhan. Hanya itu yang mampu mengingatkan saya kembali dimana saya berpijak. Saya perlu yakin dan terus percaya. Allah sentiasa sudi untuk membantu.” Sambung Zuhairah lagi. Aku terharu.
“Saya juga begitu.” Harapanku sama.
Semoga Allah kuatkan langkahku dan kawan-kawan untuk berjuang dalam medan jihad ini. Tiada lagi perang Badar mahupun Uhud untuk diperjuangkan dengan mengangkat senjata. Dalam perkiraannku inilah salah satunya medan jihad yang mampu aku kejar pahalanya. Hatiku berbisik doa. ‘Semoga Allah tunjukkan jalan,. Semoga akal dan diri tidak tertipu bahawasanya segalanya berada di tangan Dia. Bukan usaha penentu segalanya. Semoga ini adalah usaha yang diberkati-Nya, semoga di akhirat kelak Dia sudi mengangkatku dan rakan-rakan yang lainnya sebagai salah seorang hamba yang Dia cinta. Amin.’

kita bukan hanya pelajar perubatan, kte insan yg bakal membawa peranan.. stay strong~
Sekadar perkongsian . Moga berguna buat semua (':
Sekadar perkongsian . Moga berguna buat semua (':
Tiada ulasan:
Catat Ulasan